Sunday, 11 December 2011

ALLAHYARHAM EN. ISMAIL @ CHE WEL BIN HJ AHMAD KHATIB

En. Ismail @ Che Wel Hj Khatib dilahirkan pada sekitar tahun 1875 di kampung Beladau Kolam, Manir, Kuala Terengganu. Bapanya bernama Haji Ahmad Khatib yang merupakan seorang ulama yang terkenal pada masa itu di kampung Beladau Kolam dan ibunya bernama Cik Midah.

Sejak kanak-kanak lagi beliau telah belajar ilmu agama dengan bapanya. Pada usia dewasa beliau telah belajar pula dengan Haji Wan Taib di kampung Pulau Bahagia yang baru pulang dari belajar di Mekah hinggalah berkahwin dan memperoleh beberapa orang anak dengan berjalan kaki berulang alik setiap hari.

Beliau berkahwin pada sekitar tahun 1900 dengan Che Teh binti Jusoh dari kampung Pasir Tebakang. hasil daripada perkahwinan itu beliau memperoleh seramai 12 orang anak iaitu 9 orang lelaki dan 3 orang perempuan. Dua daripada anaknya telah meninggal dunia dahulu daripadanya iaitu En. Abdul Kadir dan Che Kelsom.

Penghidupan beliau sangat miskin dan susah kerana selepas berhenti belajar beliau terus mengajar kitab dan Al-Quran di suraunya yang mana murid-muridnya lebih dari seratus orang yang datang dari jauh dan dekat. Beliau mengajar dua kali seminggu di kampung Beras Hangus dan Padang Tengir. beliau mengajar dengan percuma dan tidak mempunyai pekerjaan yang lain. Anak-anaknya yang ramai dan hal rumahtangga diserahkan kepada isterinya menguruskan sepenuhnya. Isterinya juga tidak mempunyai pekerjaan yang tetap selain dari mengambil upah bertenun kain, mencabut semai dan mengetam padi sertamemasak minya kelapa untuk dijual di bandar-bandar seperti di pasar Chabang Tiga dan pasar di Kualat Terengganu. Beliau berulang alik dari rumahnya ke pasar dengan berjalan kaki.

Selain daripada mengajar dan berdakwah, beliau juga menjadi jurunikah sebagai ganti bapanya yang telah meninggal dunia. Beliau juga berkebolehan memandikan jenazah dan juga bertani secara kecil-kecilan seperti menanam padi dan ubi. Satu keistimewaan beliau ialah beliau bijak dalam ilmu hisab iaitu boleh membahagi harta pusaka dengan sebaik-baiknya.

Oleh sebab kehidupannya yang susah maka cita-citanya untuk menunaikan fardhu haji di Mekah tidak kesampaian hinggalah ke akhir hayatnya.

Pada akhir bulan Disember 1941 atau awal bulan Januari 1942 bersamaan akhir bulan Zulkaedah atau awal bulan Zulhijjah 1360 iaitu semasa Jepun mulai masuk Terengganu, maka berakhirlah hayat seorang hamba Allah yang sangat gigih dan tekun berdakwah bagi mengembangkan pelajaran agama Islam kepada anak bangsanya yang masih ramai lagi dalam kejahilan. Beliau meninggalkan seorang isteri, 10 orang anak dan 8 orang cucu ketika berusia lebih kurang 66 tahun.

Selepas pemergian suaminya maka sekali lagi Che Teh hidup dalam penderitaan dan sengsara untuk menyara hidup anak-anaknya yang ramai, lebih-lebih lagi dalam masa pemerintahan Jepun yang mana barang-barang semuanya sukar didapati dan mahal pula harganya. Walaubaigamanapun, beliau tetap menghadapi cabaran itu dengan tabah dan penuh kesabaran mengharungi hidup di dunia yang fana ini.

Pada 5.6.1985 iaitu poada pukul 6.00 petang, maka seorang lagi hamba Allah yang tidak putus-putus dirunding malang sepanjang hayatnya, menghembuskan nafasnya yang terakhir pada usia hampir 100 tahun dengan meninggalkan 7 orang anak, 58 orang cucu, 110 orang cicit dan 26 orang cuit.

No comments:

Post a Comment